Sudah 4 hari Bang Aim tidur di sini. Raya paling suram buat kami sekeluarga. Biasanya Bang Aim yang akan jadi ketua konvoi beraya. Raya kali ini tak sempat jumpa pun dia lagi. Masa dia dibawa ke hospital, saya di Melaka. Baru beberapa minit bertolak dari Melaka menuju ke Segamat, dapat SMS maklumkan Bang Aim di ER Hospital Selayang. Oleh kerana Bang Aim memang dah selalu ditahan di hospital, berita tersebut tidaklahmenyebabkan saya berpatah balik ke KL.
Rupa-rupanya, kali ini teruk benar nampaknya. Hampir semua organ penting telah rosak akibat jangkitan kuman. Saya sendiri tidak tahu secara tepat apa punca sebenar kerana tak mahu bebankan kakak saya untuk ulang semula apa yang dia telah ceritakan pada orang lain. Yang saya tahu sekarang ni Bang Aim perlukan bantuan mesin dialisis 24 jam kerana buah pinggang sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Mesin lain pun ada juga tapi saya tak pasti untuk apa.
Di ICU ini, kesempatan untuk kita melawat pesakit adalah amat sedikit. Masa melawat singkat dan bilangan pelawat pada satu masa pula dihadkan kepada 2 orang sahaja. Kali pertama saya dapat lawat, nampak jelas mata Bang Aim sangat kuning. Hati dia memang dah lama patut dibedah tetapi oleh kerana Diabetis yang tinggi, tak mungkin ia boleh dibuat. Disebabkan masalah pada hati inilah yang buat mata jadi kuning. Sekarang ni, mata yang kuning itu sudah tidak kelihatan lagi kerana mata beliau telah tertutup rapat.
Harapan untuk Bang Aim sembuh sangat kecil. Doktor telah cuba sedaya upaya namun hanya Allah swt saja tempat kita berserah.
No comments:
Post a Comment