Abah saya dulu kerja sebagai polis di Singapura. Selepas isteri pertama Abah meninggal dunia pada tahun 1969, Abah balik ke Melaka bersama dengan 8 orang anak.
Pada tahun 1971, Abah saya, duda anak lapan telah berkahwin dengan Mak. Mak pula janda anak seorang. Janda jumpa duda.... lahirlah saya dan dua orang lagi.
Masa di Melaka, rumah kami berkongsi laman dengan dua buah rumah lagi iaitu rumah Datuk dan Paklang. Sungguh seronok masa mereka semua masih ada dulu.
Sekarang ini, ketiga-tiga rumah sudah tidak wujud lagi. Yang ada cuma tanah terbiar yang tidak diketahui siapa waris yang layak sebagai pemilik. Yang pasti, ibu saya berpindah keluar dari rumah itu setelah Abah meninggal kerana tanah itu bukan arwah Abah yang punya.
Arwah Datuk telah beri tanah lain pada Arwah Abah semasa mereka masih hidup lagi. Arwah Abah pula mungkin tak mahu anak-anak seramai 11 orang berebut tanah sekangkang kera, jadi dia telah jual siap-siap. Jadi bila Arwah Abah meninggal, tak ada harta pusaka untuk diwarisi.
Kini, kami semua dah tak ada sebuah rumah yang kami adik-beradik boleh panggil sebagai rumah tua untuk kami berhimpun. Masing-masing cari harta sendiri. Masa Raya, rumah saya jadi rumah yang wajib dikunjungi sebab Mak tinggal dengan saya.
Setiap kali ke Melaka, saya akan cuba untuk lalu di hadapan bekas kampung saya di Bukit Rambai tu. Saya tak pasti siapa yang berhak atas tanah itu semua sekarang ni. Yang pasti, sudah lebih 15 tahun, tempat saya membesar itu menjadi tanah terbiar yang penuh dengan semak samun. Tak ada sebarang tanda pun yang menunjukkan pernah ada 3 buah rumah berdiri megah di situ.
Adik-beradik Arwah Abah pun cuma tinggal seorang sahaja daripada 14 orang. Tanah yang saya anggar bernilai sekurang-kurangnya RM300,000 itu mungkin selama-lamanya menjadi sebahagian daripada tanah pusaka bernilai bilion ringgit yang diabaikan oleh orang Islam di Malaysia.
No comments:
Post a Comment