28 Sept 2006

Fitrah 1427

Bila aku dah mula pakai baju Melayu ke surau.
Bila aku dah mula pakai kopiah ke surau.
Bila beg kecik aku, dah mula aku sandang ke surau.

Itu tandanya, tugas aku sudah bermula. Tahun ni, RM4.70 sekepala. Sama macam tahun lepas. Setakat ini, dah dua malam aku menunggu. Sambutan pun macam tahun lepas. Ramai yang dok tengok jadual jer berapa nak kena bayar. Majoriti tunggu 10 malam terakhir. Takpelah. Aku sendiri pun hanya akan bayar 10 malam terakhir jugak. Aku bayar lambat bukan sebab ada fadhilat apa-apa pun. Aku bayar lambat sebab aku memang jenis suka buat kerja "last minute".

Tapi selambat-lambat aku, masih ramai yang lebih lambat daripada aku. Tahun lepas, pada pagi raya, aku tunggu di luar surau bermula jam 7.30 pagi. Kebanyakan yang datang bayar pagi tu, pekerja asing Indonesia. Tiba-tiba datang seorang yang berkereta dan berbaju Melayu lengkap bersamping serta songkok tinggi 1/2 kaki. Dia jumpa aku. Dia bayar kat aku. Masa tu 15 minit lagi akan mula solat sunat Edul Fitri. Nasib baik dia jumpa aku tahun lepas. Kalau tahun ini dia buat lagi macam tu, kemungkinan besar dia gagal bayar sebelum tamat tempoh. Tahun ini, aku balik kampung bini. Harapnya, mamat tu juga balik kampung bini dia. Biasanya di kampung, amil adalah orang tua yang tunggu anak-anak balik kampung. Di tempat aku, amil yang nak balik kampung!

Anda bagaimana? Tunggu pagi raya juga baru hendak tunaikan fitrah? Kalau anda tunaikan zakat fitrah dengan menyerahkan wang atau beras tersebut secara terus kepada golongan penerima zakat, memang ia sesuatu yang menggembirakan si penerima itu. Tapi kalau setakat nak bayar pakai duit kepada amil yang kutip RM4.70 sekepala itu, aku nasihatkan, tak perlu tunggu hingga pagi raya. Duit-duit itu semua hanya akan masuk ke akaun pusat zakat bila BSN dah buka lepas cuti raya! Sementara tunggu BSN buka juga, aku terpaksa bawa hasil kutipan aku ke serata negeri yang bakal aku lawat hari raya nanti. Kalau tak bawa tak sedap hati. Takut kena curi. Mampus kena ganti pakai duit sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: