2 Jul 2014

SSM Punya Sijil

 
Baru saya perasan, saya tak tulis lagi di blog ini tentang pendaftaran perniagaan dengan SSM. Hari tu tulis di Facebook rupanya. Sebut pasa facebook baru teringat ada yang tanya macam mana daftar SSM ni. Sebenarnya nak daftar SSM senang saja. Yang susah
ialah nak pilih nama. Secara ringkasnya, langkah-langkah daftar SSM adalah seperti berikut:

1)  Berangan nak berniaga
2)  Fikir nak berniaga apa.
3)  Nak berniaga di mana?
4)  Berniaga online atau offline semuanya kena daftar dengan SSM
5)  Pilih sekurang-kurangnya tiga nama untuk daftar SSM.
6)  Pergi pejabat SSM. Lokasi pejabat SSM sila lihat sini.
7)  Bawa RM40.00 kalau nak daftar nama guna nama sendiri seperti dalam Mykad. RM10 untuk pendaftaran, RM30 untuk setahun. Kalau nak daftar maksima 5 tahun terus pun boleh tapi kena bawa duit RM30 untuk setiap tahunlah.
8)  Bawa RM70.00 kalau nak daftar nama guna nama trade. Nama trade ini adalah nama selain Mykad. Contohnya FABMINDS MARKETING. RM10 untuk pendaftaran, RM60 untuk setahun. Kalau nak daftar maksima 5 tahun terus pun boleh. Bawa wang secukupnyalah.
9)  Di pejabat SSM, tuju kaunter pertanyaan dulu. Kata nak daftar perniagaan.
10) Isi borang yang diberikan.
11) Lepas isi borang, pergi ke kaunter pertanyaan semula untuk dia semak.
12) Lepas disemak akan dapat nombor.
13) Tunggu nombor dipanggil. Sambil itu boleh lawat www.jualbelibukuterpakai.biz untuk beli buku yang saya jual. Jangan duduk nganga tak buat apa-apa, Nabi tak suka. Smartphone bertujuan untuk buat perkara yang smart sahaja. Jangan main candy crush dan invite saya main sekali. Silap-silap saya akan ban anda!!!
14) Bila nombor dipanggil, bawa borang ke kaunter berkenaan.
15) Sekarang ini SSM sudah lebih baik daripada 3 tahun lepas. Dia akan semak nama yang kita mohon depan kita. Kalau belum ada yang daftar guna nama itu, dia akan bagitahu nama itu akan didaftar. Kalau kita tiba-tiba nak tukar fikiran guna nama yang ketiga, kita boleh bagitahu pegawai tersebut. Yang penting masa mula-mula sampai ke kaunter tu.. senyum dan beri salam. Dorang buat kerja penat sebab orang ramai yang daftar perniagaan sekarang ni sebab ramai tak cukup duit nak makan sebab pasar ramadhan pun mahal dan air minum pun ada yang dah jual RM1.20 secawan sebab nak balik bergaya di hari raya sebab tak pergi kursus kewangan dengan Shamsudin Kadir macam saya. Ooppsss.. sorry merepek sekejap.
16) Lepas dah puas hati dengan nama yang nak didaftarkan, bayar duit pada pegawai itu.
17) Jangan seronok sangat dapat daftar nama yang 14 hari 14 malam fikir tu sampai lupa ambil resit dan nombor semula. Lepas ni kena tunggu lebih kurang satu jam untuk dapat sijil pendaftaran di kaunter serahan.
18) Baru teringat...sila bawa salinan kad pengenalan semua pemilik perniagaan. Kalau tak bawa, kena pergi fotokopi di luar pejabat SSM lah. Mungkin mereka kenakan 40 sen sehelai. Saya tak tahu sebab saya dah fotokopi siap-siap.
19) Lepas dah dapat resit, sila duduk dan sambung lawat www.jualbelibukuterpakai.biz tadi untuk selesaikan pembelian buku. Tadi mesti tak sempat lagi nak pilih. Anda ada masa 20 minit untuk buat pilihan.
20) Lepas dah buat tempahan, anda akan dapat email untuk buat bayaran ke akaun saya. Sila buat bayaran guna smartphone tu juga pada masa itu juga. Anda kan ada masa lebih setengah jam lagi. Jangan pergi merayau di kedai-kedai sekitar pejabat SSM (kalau ada kedai lah). Bulan puasa ni tak elok ronda-ronda kedai tanpa tujuan dalam keadaan lapar. Nanti semua benda anda nak beli. Bila semua benda anda nak beli, anda dah tak ada duit nak beli buku yang saya jual murah-murah tu.
21) Bila nombor anda dipanggil, tunjukkan resit pembayaran tadi dan sijil anda pun akan dapatlah berserta dengan maklumat pemilik perniagaan.
22) Pegawai tu akan tawarkan anda untuk beli tempat pamer sijil tersebut. Nak beli boleh, tak nak beli pun tak apa. Di SSM Shah Alam, mereka jual RM8.00. Jualan tu bukan SSM yang buat tapi kelab sukan mereka yang buat. Bolehlah dorang nak buat hari keluarga ke bowling perdana ke dengan duit sumbangan anda tu. Bila mereka dapat buat hari keluarga, mereka akan jadi ceria. Bila mereka ceria, mereka akan kerja dengan lebih tekun lagi. Jadi jangan kedekut!
23) Dah dapat sijil, apa lagi.. balik lah jangan tengok kedai-kedai kat luar SSM tu. Kalau di Shah Alam, luar SSM Alam Sentral penuh dengan kedai handphone. Oh ya.... kalau anda hanya boleh jenguk kedai-kedai handphone itu kalau anda tak ada smartphone lagi. Tujuan beli smartphone adalah supaya anda boleh lawati www.jualbelibukuterpakai.biz pada bila-bila masa. Selain daripada itu, tolong jangan bazirkan duit ya.

Ok...begitulah cara-cara dan langkah-langkah yang mudah untuk daftar perniagaan dengan SSM. Langkah yang paling penting adalah langkah 13, 19 dan 20. Langkah 23 akan menjadi langkah yang sangat-sangat penting jika anda tidak ada smartphone.

Sekian. Harapan saya semoga pos ini dapat membantu pada yang tak tahu. Sempena bulan Ramadhan ini, silalah share pos ini untuk dapat pahala.

ps - tambahan tips untuk pilih nama. Pilih nama yang anda sendiri tak tersasul silap tulis selalu. Nanti susah orang nak tulis pada cek. Cadangan asal saya nak guna Fabolus Minds tetapi kerana saya sendiri selalu salah type "Fabulous" tu jadi saya ringkaskan jadi FABMINDS sahaja. Marketing tu sebab nak sesuaikan dengan jenis perniagaan yang saya nak buat. Ada yang guna Enterprise, Networks, Perniagaan etc. Pandai-pandailah pilih yang sesuai ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: