9 Feb 2007

Nak Menang Saja

Siakap Senohong Gelama Ikan Duri,
Bercakap Bohong Lama-lama Mencuri.


Anak itu berumur 5 tahun. Dia masuk pertandingan mewarna. Bersama dia ialah kakaknya yang berumur 10 tahun. Kakaknya tidak boleh bertanding kerana pertandingan itu hanya untuk yang berumur 6 tahun ke bawah. Sebaik sahaja lukisan yang perlu diwarnakan diterima, dia terus mengambil pensil warna dan mula mewarna. Bagi dia, apa-apa warna pun tak kisah. Pensil hijau yang dipegang ditenyeh ke muka tukang masak. Kakaknya terus menegur dan merampas pensil hijau itu dan memberikan pensil kuning cair. Selepas selesai muka itu diwarnakan, kakaknya dengan tenang memberikan tunjuk ajar warna apa yang perlu diguna untuk watak dan objek seterusnya.

Selepas setengah jam berlalu, ayah anak itu datang duduk bersebelahan anak-anaknya itu. Dilihatnya tak sampai separuh pun lukisan yang telah diwarnakan. Galakan diberi supaya anak ciliknya mewarna dengan lebih pantas. Tapi, budak seusia 5 tahun mana mungkin dapat mengagak dan merancang selaju mana dia perlu mewarna. Dia tetap dengan kelajuan yang sama. Mewarna lambat-lambat. Ayah yang melihat semakin resah. Kakak yang memberi panduan semakin gelisah.

Masa yang tinggal kini hanya 15 minit sahaja lagi. Si Kakak yang bimbang Si Adik gagal menyiapkan lukisan itu dengan sempurna mengambil keputusan untuk mengambil alih. Si Ayah pula membiarkan sahaja Si Kakak memberi "bantuan".

Masa mewarna tamat. Si Adik merasa sangat gembira kerana dia berjaya menyiapkan lukisan itu dengan bantuan Si Kakak. Si Kakak pula sangat gembira kerana dia yakin Si Adik akan berjaya mendapat kedudukan yang baik hasil pertolongannya. Si Ayah pula turut berbangga dengan hasil kerja kedua-dua anak kesayangan beliau itu. Sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi Si Adik dan Si Kakak. Mereka bertiga menuju ke gerai aiskrim berhampiran sementara menunggu keputusan diumumkan.

Kita tak mungkin ajar anak kita menipu secara terang-terangan tetapi dalam keghairahan kita mahu melihat anak kita berjaya, kadang-kadang seawal umurnya 5 tahun lagi kita telah dedahkan bahawa kemenangan lebih utama daripada kepuasan dan kejujuran sepanjang jalan menuju kemenangan itu sendiri.

ps - Si Adik diumumkan mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut dan menafikan budak lain yang bertanding mengikut peraturan mendapat hadiah.

pss - Si Kakak dalam cerita ini bukanlah adik perempuan kawan sekampung aku itu. Kisah alahan ubat dan perempuan perlukan banyak masa untuk diolah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: