13 Nov 2008

Peperiksaan

1. Sijil Pelajaran Malaysia

SPM untuk aku dulu bermula awal. 31 Oktober 1989. Batch aku adalah yang pertama SPM bermula seawal itu bagi mengelakkan musim tengkujuh. Yang aku heran, beberapa tahun kemudian, tarikh SPM bermula dilambatkan kembali seperti sebelum 1989 walaupun musim tengkujuh tetap datang seperti biasa.

Persediaan sebelum SPM untuk seseorang yang suka membuat kerja di saat akhir seperti aku adalah selama satu bulan sahaja. Itupun disebabkan kedatangan beberapa pelajar UM yang membuat beberapa siri ceramah motivasi di sekolah aku. Kalau dorang datang lebih awal... mungkin aku dah jadi pakar sakit puan sekarang ni. Mereka yang datang semuanya lelaki tapi semuanya bakal gynae... sampai aku pun teringin nak jadi gynae masa tu. Masalahnya... Biologi adalah subjek yang paling aku benci dan lemah sekali.

Selepas aku terima hakikat aku takkan dapat jadi gynae sebab aku tak suka biologi.. maka aku telah membuat keputusan untuk memboikot terus buku Biologi dan Kimia sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan keseluruhan SPM aku. Orang lain study untuk ambil 9 subjek, aku cuma perlu study untuk 7 sahaja. Tapi aku cuma boikot bukunya sahaja, peperiksaan kedua-dua subjek ini aku tetap datang. Untuk paper objektif, aku tak buka langsung kertas soalan. Tulis nama dan terus hitamkan pada kertas jawapan ikut suka hati aku. Selepas 15 minit aku keluar dewan. Kertas subjektif, aku tulis nama sahaja dan keluar dewan. Hasilnya.. SPM aku cuma ada 8 subjek sahaja. Biologi tidak ada dalam sijil sebab F9. Kimia? Hehehe.. tembakan aku banyak juga yang terkena sebab dapat P8.

Satu subjek yang aku tak pernah dapat tangkap masa cikgu aku ajar; yang tak pernah aku dapat markah lebih dari 20%; adalah Matematik Tambahan. Pelajar-pelajar gynae UM tersebut telah membuka mata dan minda aku terhadap subjek yang susah gilos itu. Kalau dalam peperiksaan percubaan, kalau tak silap aku, markah aku cuma 14% sahaja, dalam SPM aku dapat C6. Gred tu memanglah tak tinggi.. tapi bagi seorang yang tak pernah biru dalam subjek itu, ia adalah gred yang sangat tinggi sekali. Dan gred itulah yang membolehkan aku masuk U. Kalau aku tak dapat kredit subjek tu, dah tentu aku tak layak masuk kursus yang aku telah masuk dulu dan dah tentu tidak dapat bekerja dalam bidang kerja aku sekarang.

Terimakasih buat pelajar-pelajar gynae UM yang telah beri kesedaran pada aku untuk belajar satu bulan sebelum SPM 1989.


2. Ujian Penilaian Sekolah Rendah

Hari ni keputusan UPSR akan diumumkan. Aku syak keputusan subjek Matematik dan Sains kali ini bukanlah disebabkan oleh keupayaan sebenar pelajar. Aku syak ia bergantung kepada keputusan untuk teruskan pembelajaran subjek2 ini dalam bahasa inggeris atau tidak. Sebenarnya.. keputusan peperiksaan di Malaysia telah lama menimbulkan syak dihati aku sebab tak pernah merosot. Setiap tahun pasti keputusannya lebih baik dari tahun sebelumnya. Takkan lah tak pernah yang jatuh sedikit? Entahlah.. aku syak sahaja tanpa ada apa-apa fakta.


3. Padang tiruan di sekolah-sekolah

Berita Sinar FM pagi tadi ada menyebut cadangan menggunakan padang tiruan di sekolah-sekolah pada masa akan datang kerana faktor penyelenggaraannya yang dikatakan lebih murah. Entahlah... hati aku merasa syak wasangka lagi. Aku syak sudah ada syarikat tertentu yang akan menjalankan projek ini. Entahlah.. aku syak sahaja tanpa ada apa-apa fakta.


Aku syak ramai di antara pembaca sekelian yang merasa hairan kenapa aku menulis agak panjang kali ini. Sebenarnya, aku nak beritahu, semasa SPM, subjek yang aku yakin benar akan dapat gred yang baik adalah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik Moden. Dengan menulis panjang menggunakan tatabahasa yang agak baik ini, sudah tentulah memberikan kepercayaan yang lebih kepada pembaca tentang fakta berikut:

Kalau BM, BI dan Mod Math aku teruk... seluruh SPM aku jadi teruk.


Untuk adik-adik yang sedang ber SPM.... selamat berjaya menghadapi peperiksaan yang menentukan hala tuju kehidupan anda selepas ini! Jangan jadi macam aku yang gagal menjadi gynae disebabkan oleh keputusan peperiksaan yang sedang kamu hadapi ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: