14 Jun 2014

Pelapis Kaki Pukul

Zaman sekolah dulu saya main kriket sampai ke Sukma (tingkatan 4) dan Kriket B23 Kebangsaan (tingkatan 5) mewakili Negeri Sembilan. Selepas hampir 25 tahun, skil memukul saya masih ada lagi. ..Alhamdulillah.
Minggu depan saya akan bermain di kejohanan antara alumni SBP. Alumni sekolah saya masih baru nak bergiat balik main kriket ni hingga terpaksa
combine dengan alumni lain. Mujurlah penganjur benarkan. Selepas raya nak kena cari lagi junior-junior untuk cukupkan team sendiri.
Ketika di tingkatan 4, hampir semua yang mewakili pasukan utama sekolah adalah pelajar tingkatan 4. Budak tingkatan 5 tak minat agaknya hingga menyebabkan ada 2 orang sahaja pemain dari tingkatan 5. Masa itu kami berjaya jadi juara zon selatan SBP dengan mudah dan berjaya mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan. 3 orang daripada kami seterusnya memenangi pingat emas dalam Sukma 88.  Harapan begitu tinggi untuk kami menjadi juara kebangsaan Piala Tan Sri Hamzah Abu Samah ketika kami naik tingkatan 5. Malangnya, rezeki tak ada. Lebih menyedihkan ialah kami kalah di peringkat zon selatan lagi. Hanya juara Zon yang akan ke peringkat kebangsaan. Sedih sungguh masa tu.
Selain daripada kesedihan atas kekalahan tersebut, kami telah buat sesuatu yang lebih buruk lagi. Oleh kerana kami adalah batch yang diberi harapan oleh cikgu, kami lupa untuk siapkan pasukan junior. Di tempat latihan yang terhad, kami kuasai habis-habisan tanpa beri peluang yang secukupnya untuk para junior mengenal sukan yang tak glamor di Malaysia ini. Kalau nak kenal pun tak dapat, jauh sekali untuk mereka ada perasaan suka terhadap kriket. Akibatnya, selepas batch kami, sukan kriket tenggelam. Kami seronok dengan pencapaian sendiri pada masa itu tanpa memikirkan tentang masa depan. Sekolah yang mengalahkan kami mempunyai pemain back-up yang ramai hingga dapat menggantikan kami sebagai juara zon selatan untuk tempoh yang panjang.
Pengajaran besar yang saya dapat daripada pengalaman ini ialah kita mesti sediakan pasukan pelapis dalam apa jua bidang yang kita sertai. Tanpa pelapis, segala kejayaan yang dicapai akan terhenti bila kita juga berhenti. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: