Semasa saya di tingkatan 4, saya telah berpeluang mewakili Negeri Sembilan dalam sukan kriket di SUKMA 1988. Untuk yang tidak memahami tentang kriket, seperti bolasepak, ia dimainkan oleh sebelas orang bagi setiap pasukan. Posisi saya pula adalah 12th Man. Ini bermakna saya adalah pemain simpanan utama hahaha. Tidak seperti bolasepak, jarang sangat pemain simpanan masuk untuk ganti pemain semasa perlawanan berlangsung. Jadi harapan untuk saya merasa bermain di peringkat Sukma adalah kecil.
Walaubagaimanapun, semasa game yang pertama, salah seorang pemain kesebelasan utama telah cedera dan saya telah dibawa masuk untuk mengambil tempat beliau. Malang buat dia kerana kecederaan yang dialami adalah serius dan beliau tidak mampu untuk bermain lagi sepanjang kejohanan. Namun ia adalah rezeki buat saya kerana saya secara otomatik menjadi pemain kesebelasan utama.
Dalam perlawanan pertama itu kami kalah teruk. Coach dan kapten mengamuk pada kami. Kami dianggap tidak berdisiplin dan tidak serius. Dalam perjalanan ke padang (dalam bas), kami tidak fokus pada perlawanan yang bakal berlangsung. Kapten kata, macam nak pergi melancong. Ketawa sana ketawa sini. Tak macam orang nak pergi berjuang. Kami telah diberi amaran supaya fokus dan tidak lagi menganggap Sukma ini tempat untuk bergembira dan tengok awek yang bermain sukan lain. Suasana dalam bas semasa perjalanan pulang ke asrama penginapan di UM adalah sangat sunyi.
Rupa-rupanya, kekalahan di perlawanan pertama itu adakah pemangkin kepada kebangkitan pasukan kami. Bermula perlawanan kedua, perjalanan ke padang yang penuh dengan gelak ketawa semasa perlawanan pertama telah bertukar kepada perjalanan yang sangat senyap kerana kami tahu jika kami kalah lagi, peluang ke separuh akhir akan lenyap. Kapten juga telah memberi amaran supaya kami fokus pada tujuan kami ke Sukma. .. untuk menjadi juara!
Perjalanan pulang ke asrama yang suram selepas game pertama pula yang telah bertukar sebagai perjalanan yang menggembirakan kerana kami telah berjaya memenangi kesemua baki perlawanan termasuklah perlawanan separuh akhir. Malangnya, perlawanan akhir menentang Selangor tidak sempat dihabiskan kerana hujan lebat yang panjang. Penganjur telah membuat keputusan menganugerahkan kedua-dua pasukan sebagai pemenang pingat emas bersama. Bersama pun tak apalah. . Janji pingat emas juga.
Selepas 26 tahun, kenangan Sukma 1988 datang lagi. Kali ini dalam kejohanan anjuran SMACK (alumni SMS Muar) Super 8 (Kriket 8 Sebelah). Walaupun kejohanan kali ini tidak sehebat Sukma tetapi saya percaya kebanyakan yang bermain pernah bermain di peringkat yang sama semasa zaman kegemilangan masing-masing. Yang pernah wakil Malaysia pun ada. Sebenarnya salah satu syarat pertandingan ialah mesti ada sekurang-kurangnya 4 pemain melebihi 35 atau 40 tahun (saya tak pasti umur yang lebih tepat) tetapi pasukan campuran Sdar dan Mozac ini semuanya lebih 40 kecuali 3 orang. Kalau dikira jumlah umur pemain dalam setiap pasukan pasti kami adalah pasukan tertua.
Seperti Sukma 88, kami kalah perlawanan pertama. Dengan jersi yang tak secantik kebanyakan pasukan lain ditambah dengan pemain ramai yang veteran, pasti tak ada yang memberikan harapan kepada kami. Akan tetapi, lihatlah dunia! Kami kalah perlawanan pertama tetapi kami bangkit untuk menjadi juara!
1 comment:
Terbaik...
Post a Comment