20 May 2014

Langkah 1E - Tamatkan Takaful Pendidikan

Tadi saya pergi tamatkan takaful pendidikan semua anak saya. Rasa rugi sangat kerana amaun yang bakal dipulangkan lebih kurang separuh sahaja daripada jumlah sumbangan yang telah dibuat.
Rugi yang dimaksudkan bukanlah rugi kerana tamatkan polisi tersebut tetapi kerana rugi tidak tamatkan lebih awal dan juga rugi tidak tahu lebih awal yang takaful/insurans pendidikan hanyalah bertujuan untuk kayakan syarikat.
Amaun yang sama jika diletakkan dalam tabung haji masing-masing, dah boleh pergi haji kami semua anak-beranak serentak. Walaubagaimanapun, semoga semua wang ringgit yang hilang itu digantikan dengan pahala membantu semua yang ditimpa musibah dan mendapat bantuan dari syarikat takaful tersebut.
Ada ramai yang bertanya di Facebook mengapa saya tamatkan takaful pendidikan ini.
Jawapannya mudah sahaja.
Takaful sepatutnya berfungsi sebagai "payung" kepada mereka yang di dalam tanggungan kita setelah kita meninggal dunia. Ia ibarat khairat kematian. Kita menjadi ahli dan berikan sumbangan kepada badan khairat kematian semata-mata untuk saling bantu-membantu meringankan beban menguruskan jenazah kita nanti. Pada yang tidak tahu, kos uruskan jenazah juga semakin mahal ya. Pada saya, takaful adalah khairat kematian yang harga sumbangan yang kita perlu bayar bergantung kepada berapa jumlah yang kita hendak bila sudah mati nanti (mati pun nak duit???)
Simpanan pendidikan pula sepatutnya diletakkan di suatu tabungan yang kita tahu secara kebiasaannya tidak akan menjejaskan simpanan pokok kita. Bukan setakat pokok sahaja yang kebiasaannya selamat, tabungan ini juga hendaklah biasanya memberikan pulangan atas tabungan kita itu. Contoh yang paling mudah adalah ASB dan Tabung Haji. Mengikut sejarah, tidak pernah lagi simpanan di kedua-dua tabungan ini tinggal separuh sahaja amaun pokoknya!
Berdasarkan kepada fakta dalam dua perenggan di atas, saya mengambil keputusan untuk membeli polisi takaful yang tidak ada elemen pelaburan atau simpanan. Saya juga (melalui isteri saya) akan mengalihkan wang yang selama ini dipotong daripada gaji kepada takaful pendidikan ini, kepada potongan terus ke akaun Tabung Haji anak-anak kami.
Mungkin sudah ada yang tahu adakah langkah yang saya buat ini lebih baik atau tidak. Pada yang masih belum jelas, saya tak larat nak tulis dah buat malam ini. Lain kali saya sambung ya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

1 comment:

Belinda Adzmi Ibu Ilhamny said...

kalau takaful insuran kesihatan tu rasanya berbaloi tak.. ce review skit.. :)